RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat yang berjalan tenang sejak pagi tadi, tiba-tiba ‘panas’ tengah hari ini, apabila RSN Rayer (Jelutong-DAP) yang tidak berpuas hati dengan sesi perbahasan Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu-BN), di arah keluar oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rayer enggan mematuhi arahan Timbalan Speaker kerana beliau tidak berpuas hati dengan King Sing yang dikatakan menghina serta tidak menghormati bidang tugas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

King Sing mengkritik Dr. Noor Hisham yang disifatkan sebagai ‘takut mati’ untuk turun atau turut serta bersama doktor dan jururawat bertugas di barisan hadapan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kenapa dia (KP) tidak turun padang, kenapa tak turun melawat tiap-tiap hospital. Pergi la tengok, bincang, bagi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan.

“Ini hari-hari KP buat berita (sidang media) saja, bikin (buat) apa?

“Jangan tahu hantar doktor dan jururawat saja pergi sana (lokaliti PKP).. Oh! dia orang tak takut mati, tapi DG takut mati. Timbalan DG pun tak pergi, apa sudah jadi? Tak usahlah hari-hari nak buat publisiti,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini.

RSN Rayer kemudian bangun mencelah meminta King Sing menarik balik perkataan “DG takut mati” dan menasihatnya supaya menghormati penjawat awam, terutama frontliners.

Keadaan kecoh apabila Bintulu enggan menarik balik kata-kata itu, sebaliknya mempertahankannya dengan menyatakan, beliau menyampaikan suara tidak puas hati barisan hadapan mengenai KP dan Timbalan KP yang tidak turun padang.

Jelutong pula enggan memberi laluan kepada Bintulu untuk meneruskan perbahasannya sampai habis, sebagaimana diminta oleh Azalina, dengan terus mendesak King Sing agar menarik balik perkataan itu.

Azalina cuba menenangkan Jelutong dengan memintanya duduk, tetapi RSN Rayer tidak peduli sehingga memaksa Timbalan Speaker meninggikan suara mendesaknya supaya memberi laluan kepada Bintulu untuk menghabiskan ucapan.

“Dia (Bintulu) telah menghina DG. DG bekerja siang malam menangani Covid-19. Dia tiba-tiba tidak menghormati penjawat awam. Saya minta dia tarik balik perkataan DG takut mati,” katanya memberi alasan kepada Azalina.

Azalina bagaimanapun, meminta semua Ahli Dewan supaya diam untuk membolehkannya membuat keputusan terhadap Bintulu, namun, RSN Rayer masih mengganggu dengan berteriak ke arah King Sing supaya menarik balik perkataan itu.

Azalina kemudian memanggil Bentara agar membawa RSN Rayer keluar dari Dewan dan Ahli Parlimen Jelutong akur sambil berjalan meninggalkan tempat duduknya.

King Sing kemudian meneruskan perbahasannya dengan membuat keputusan kepada Timbalan Speaker untuk tidak menarik balik tuduhannya itu terhadap Dr. Noor Hisham.

“Saya tak tarik balik sebab saya sampaikan suara dari frontliner,” katanya sambil meneruskan perbahasannya. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Betul tu… DG dan timbalan DG, malah semua pengarah-pengarah negeri dan timbalan-timbalan pengarah kesihatan, pakar-pakar kesihatan awam , dan ketua-ketua perkhidmatan perubatan hanya duduk di ofis dan memberikan arahan kepada pegawai-pegawai perubatan, jururawat dan pembantu perubatan untuk bertugas dikawasan berisiko tinggi. Ini adalah senario yang biasa di KKM… Ada betulnya kenyataan MP Bintulu tu, ”mereka ini takut mati”. Separutnya mereka ini turun kelapangan untuk menyelami permasalahan di lapangan BUKANNYA hanya bermesyuarat di pejabat.

  2. Mcm kes air kat Selangor la. Masa rakyat penat mengangkut air, MB dia ckp “kita duduk dan senyum”.

  3. Kepada pembaca dari Bintulu, ini tahap IQ MP di kawasan anda. Baik tukar si Tiong kong kali kong ni.

Comments are closed.