Gambar hiasan

TRAGEDI kematian seorang warganegara Amerika Syarikat, George Floyd yang berketurunan Afrika Amerika ditangan
seorang anggota polis berkulit putih serta kebangkitan rusuhan dibeberapa buah bandaraya di Amerika Syarikat pada ketika ini akibat daripada kematian George Floyd perlu dijadikan sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada semua pihak untuk menjaga sensitiviti kaum, etnik dan agama. Rakyat Amerika Syarikat khususnya keturunan Afrika Amerika tidak puas hati dengan layanan yang telah diberikan dan nasib yang menimpa pada George Floyd.

Tindakan tidak professional yang telah diambil oleh anggota polis berkenaan terhadap George Floyd serta ketidakpuasan yang dizahirkan secara kekerasan oleh penduduk Afrika Amerika akhirnya telah bertukar menjadi rusuhan yang menjejaskan kehidupan antara kaum di Amerika Syarikat. Dengan wujudnya globalisasi, tiada sebuah negara pun dalam dunia yang boleh mengaku bahawa negara mereka tidak memiliki pelbagai kaum, etnik dan agama dalam masyarakat mereka. Setiap negara dunia pada masa kini memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama walaupun jumlah mereka adalah sedikit dan dilihat sebagai golongan minoriti dalam negara berkenaan.

Jumlah kaum, etnik dan agama yang terdapat di dalam sesebuah masyarakat tidak seharusnya menjadi kayu ukuran ataupun syarat apabila ia berkaitan dengan jalinan hubungan antara individu yang berlainan kaum, etnik, dan agama. Setiap masyarakat perlu belajar untuk hidup aman dan harmoni sesama mereka walaupun masyarakat mereka memiliki penduduk yang berbeza kaum, etnik dan agama dalam jumlah yang sederhana ataupun kecil. Sekiranya mereka tidak mahu untuk hidup aman dan harmoni, masalah dan konflik akan mudah berlaku dalam masyarakat berkenaan. Dengan kewujudan internet dan pelbagai aplikasi komunikasi moden pada masa kini, sesuatu isu atauperkara akan mudah menjadi besar serta boleh mencetuskan pelbagai konflik dan persengketaan yang akhirnya boleh menimbulkan pergaduhan.

Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya konflik dan persengketaan ini berlaku dalam sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama kerana perbezaan yang terdapat diantara mereka. Keadaan juga boleh menjadi lebih buruk dengan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil peluang atau kesempatan di atas kekecohan yang berlaku bagi memenuhi kepentingan peribadi mereka. Oleh yang demikian, segala jenis konflik dan persengketaan perlu dikawal dengan segera dan dibendung dari awal supaya ianya tidak berada diluar kawalan sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan, huru-hara, dan kemusnahan dalam negara. Setiap pihak termasuklah pihak kerajaan, ahli politik, dan pihak berkuasa sendiri perlu memastikan sebarang jenis konflik dan persengketaan antara kaum, etnik dan agama tidak tercetus akibat daripada perkataan ataupun tindak tanduk yang datang daripada mereka sendiri.

Setiap perkataan yang hendak dikeluarkan atau perbuatan yang hendak dilakukan hendaklah dibuat dengan penuh berhati-hati dengan mengambil kira suasana sensitiviti yang ada dalam masyarakat. Banyak perkara yang dapat dijadikan sebagai iktibar daripada rusuhan yang berlaku di Amerika Syarikat terutamanya dari aspek kepentingan hubungan toleransi dan harmoni antara kaum dalam sebuah masyarakat. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana negara kita memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni buat sekian lama. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara masyarakat dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama ini, ia tidak bermakna kita semua tidak dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni sebagai sebuah masyarakat di dalam sebuah negara.

Setiap rakyat Malaysia walaupun berlainan kaum, etnik dan agama telah memainkan peranan penting dalam memajukan
dan memakmurkan Malaysia semenjak negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 daripada British. Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Setiap daripada kita tanpa mengira kaum, etnik dan agama masing-masing akan terus memainkan peranan ke arah kemajuan dan kemakmuran negara kita sama ada sumbangan itu dibuat secara langsung ataupun secara tidak langsung. Keunikan negara Malaysia ialah ianya memiliki pelbagai jenis kaum yang dapat hidup aman dan damai tanpa adanya pergaduhan atau persengketaan teruk seperti yang berlaku di negara – negara lain. Malahan, negara-negara yang digelar sebagai negara maju di dalam dunia ni pun gagal untuk hidup aman damai bersama dengan kaum lain yang ada dalam negara mereka seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. Walaupun terdapat sedikit perbalahan yang berlaku dalam negara kita, namun ianya berjaya diselesaikan dengan cara yang baik tanpa mengundang insiden teruk yang boleh menjejaskan kehidupan semua pihak. Perlu diketahui, setiap individu adalah unik, setiap kaum dan etnik juga adalah unik.

Setiap daripada kita tidak diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna. Tiada kaum ataupun etnik yang boleh mengaku kaum ataupun etnik mereka adalah yang terbaik daripada yang lain. Semuanya memiliki kelebihan dan kekurangan. Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita semua dapat ketepikan segala ego dan sebarang perbezaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain untuk membawa kebaikan buat diri kita semua serta membawa kemajuan pada negara.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)