Aliff terpilih untuk meraih kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000).

KUALA LUMPUR – Bintang muay thai remaja negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib melakar sensasi di Thailand apabila terpilih untuk meraih kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000).

Dia muncul jaguh muay thai kedua menandatangani kontrak tersebut selepas Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo bulan lalu.

Atlet yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu berjaya mendapatkan kontrak tersebut selepas menewaskan petinju dari Iran, Zolfaghari secara KO atau ‘knock-out’ di Stadium Lumpinee Boxing, Bangkok kelmarin.

“Malam ini (Jumaat lalu) saya memenangi pertarungan dengan KO dan menerima kontrak bernilai AS100,000 untuk ONE. Malam ini adalah saat paling bahagia dalam hidup saya,” tulisnya di Instagram miliknya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja Mei lalu itu memberitahu, jurulatihnya pernah berjanji untuk mendapatkan kontrak bersama ONE Championship.

“Tahun ini, jurulatih berjanji kepada saya bahawa kami akan mendapatkan kontrak bersama ONE Championship. Malam ini satu lagi kejayaan KO dan kami mendapatkannya,” katanya yang meraih pingat emas dua tahun berturut-turut pada Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA pada 2021 dan 2022.

“Terima kasih kepada jurulatih yang selalu memberi semangat dan buatkan saya percaya kepada diri sendiri. Terima kasih kepada bos Pachet dan semua rakan-rakan saya di kem, saya sayang anda semua. Alhamdulillah untuk semuanya,” tulisnya.

Bulan lalu,  Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yang merupakan kelahiran Sarawak berjaya menewaskan lawan dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam acara ONE Friday Figh untuk melakar sejarah terpilih untuk meraih kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000). – MalaysiaGazette