Datuk Seri Salleh Said Keruak
Datuk Seri Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Bekas menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini terpaksa akur apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan oleh pimpinan pusat PKR sebelum meluluskan permohonannya untuk menyertai parti itu.

Bagaimanapun Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu berharap agar beliau diberi peluang memberi sumbangan untuk menjayakan agenda reformasi khususnya di Sabah.

“Saya menyerahkan kepada parti untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonan saya.

“Saya faham dan terima mengapa pimpinan pusat PKR memutuskan untuk diberi sedikit masa supaya dapat berbincang mengenai keahlian saya,” katanya yang dimuat naik di laman blog miliknya hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan pihaknya menerima permohonan Salleh untuk menyertai parti itu dan permohonan itu dibuat secara dalam talian.

Menurut Fahmi, Biro Politik PKR akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara berkenaan dalam mesyuarat yang akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan Salleh telah menyertai PKR Cawangan Kota Belud tanpa pengetahuan pemimpin politik Sabah yang lain.

Dalam pada itu, Salleh juga berharap diberikan peluang untuk menyumbang ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan di negara ini.

“Saya telah dimaklumkan secara peribadi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keahlian saya dalam parti.

“Saya berharap diberikan peluang memberi sumbangan dengan sedaya upaya saya ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.