Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata, selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan. – BERNAMA