Pemandu kereta Proton Saga, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36 yang melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan ketika berjalan kaki di bahu jalan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri Rabu lalu mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2024.

TELUK INTAN – Seorang pembantu kedai makan yang melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan 1 Syawal lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan, pada Jumaat.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis tetrahydro-cannabinol (THC) ke dalam badan dengan cara menyalahi undang-undang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, jam 7.45 malam, Rabu lalu.

Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan dibaca bersama Seksyen 38b (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai berdekatan setiap dua minggu sekali dan menetapkan 5 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan laporan patologi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Sebelum ini media melaporkan, tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika mereka berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong, di sini, Rabu lalu.

Ketiga-tiga mangsa maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33 manakala tiga yang cedera adalah Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

3 warga Pakistan maut dalam perjalanan tunai solat sunat Aidilfitri