Insiden lori muatan ais batu melanggar lori muatan tong roro meyebabkan seorang tercedera manakala seorang lagi warga Myanmar maut tersepit dalam nahas yang berlaku di Jalan Lapangan terbang Subang menuju ke Shah Alam hari ini.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing maut selepas lori membawa muatan ais yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori menunda tong sampah di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Shah Alam petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan awam mengenai insiden nahas itu pada jam lebih kurang 4.05 petang.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan bomba yang terdiri daripada tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah lori lima tan yang membawa muatan ais batu yang dipercayai telah bertembung dengan lori yang membawa muatan tong roro.

Insiden lori muatan ais batu melanggar lori muatan tong roro meyebabkan seorang tercedera manakala seorang lagi warga Myanmar maut tersepit dalam nahas yang berlaku di Jalan Lapangan terbang Subang menuju ke Shah Alam hari ini.Ihsan Bomba Selangor

“Akibat perlanggaran itu, bahagian hadapan lori muatan ais telah remuk teruk sehingga pemandu serta pembantu pekerjanya tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, anggota yang berada di lokasi telah menggunakan peralatan mesin khas untuk memotong bahagian kepala lori yang remuk itu untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Jelasnya, pemandu lori ais merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun telah berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Pemandu lori ais warga tempatan berusia 58 tahun yan tersepit dengan kecederaan ringan berjaya diselamatkan bomba dalam nahas membabitkan lori muatan ais batu dan lori tong roro di Jalan Lapangan terbang Subang menuju ke Shah Alam petang tadi.

Manakala, pembantu pemandu lori ais berkenaan, seorang warga Myanmar berusia 20-an didapati sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bomba telah mengeluarkan mayat mangsa warga asing yang tersepit itu dan menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam.

Tambah beliau, pemandu lori tong roro pula tidak kelihatan di lokasi kemalangan tersebut. – MalaysiaGazette