Mohd Ali mengacau gulai kawah pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Jerami Desa, Kampung Pengkalan Batu, Melaka malam tadi.

MELAKA – Koperasi Pengkalan Batu (Kopaba) menyasarkan jualan RM1.2 juta tahun ini sekali gus menjadi koperasi masjid pertama di negara ini yang turut melonjakkan ekonomi dalam bidang agro pelancongan.

Pengerusinya Datuk Amzah Osman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM360,000 akan disumbangkan melalui produk agro pelancongan Jerami Desa berhampiran masjid yang akan mula beroperasi minggu ini.

“Jerami Desa adalah produk pertama Kopaba yang dinaiktaraf daripada tapak sawah menjadi pusat pelancongan untuk merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan sasaran pendapatan RM30,000 sebulan.

“Kopaba juga telah dipilih oleh kerajaan negeri dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menjadi contoh kepada masjid-masjid lain sehingga dapat merealisasikan produk Jerami Desa ini,” katanya.

Amzah Osman

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Jerami Desa, Kampung Pengkalan Batu di sini malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut Amzah berkata, buat permulaan, Jerami Desa menyasarkan kedatangan 3,000 pelancong domestik melalui tujuh aktiviti utama ditawarkan.

“Antaranya adalah riadah 10,000 langkah, sukan ekstrem menunggang kenderaan rupa bumi (ATV), bola sepak dalam lumpur dan pertunjukan kebudayaan.

“Turut ditawarkan tapak khemah ala glamping dengan pelbagai kemudahan asas lain melengkapkannya sebagai pusat agro pelancongan terkenal di Melaka kelak,” katanya. – MalaysiaGazette