Presiden Malaysia Cat Groomers Association, Noor Zainal bermain bersama kucing dibawah jagaannya di Seri Kembangan, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

HULU LANGAT – Kucing bukan sekadar haiwan peliharaan manusia malah dianggap sebahagian daripada keluarga dan teman rapat.

Tidak hairanlah kucing menjadi haiwan peliharaan paling popular di Malaysia sehingga 77.7 peratus berbanding binatang lain seperti anjing, ikan emas dan arnab susulan kebanyakan penduduknya beragama Islam.

Sebagai pemilik kucing, sudah pasti masih ramai yang tidak mahir dari aspek kesihatan, kecantikan dan penampilan menarik dalam penjagaan si bulus dengan tanggapan binatang ini pandai untuk menjaga kebersihan diri.

Bagaimanapun pemilik haiwan ini masih memerlukan khidmat pendandan kucing yang profesional atau profesional cat groomer yang terlatih mengendalikan pelbagai jenis baka agar lebih terurus dan kemas.

Kerjaya Profesional Cat Groomer

Siapa sangka kerja-kerja mendandan kucing kini bukan lagi dianggap sekadar pekerja am di kedai haiwan sahaja bahkan kini menjadi salah satu kerjaya berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Presiden Malaysia Cat Groomer Association (MCGA), Noor Zainal berkata, kerjaya itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar di dalam dan luar negara susulan industri semakin berkembang dan kos perkhidmatannya semakin mampu milik.

“Kalau kita buat perkhidmatan spa kucing, memang boleh menjana pendapatan di mana keuntungan boleh mencecah 90 peratus, sebab modal kita hanyalah syampu dan tenaga kita, kita tak perlu kos operasi yang tinggi.

“Kita boleh buat mendandan kucing dari rumah, kalau ada modal RM2,000 hingga RM3,000 sudah boleh buat, beli peralatan asas untuk dandan kucing.

“Kalau kita boleh dandan satu minggu 10 ekor dengan bayaran RM50 seekor, sudah dapat RM500 dan boleh menjana sehingga RM1,000 seminggu, kita boleh tentukan pendapatan kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di Purrfection Catz Grooming Academy, Balakong, di sini, baru-baru ini.

Pusat penjagaan, pendandanan dan rawatan kucing di Purrfection Catz Grooming Academy, Balakong, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Noor berkata, sebelum ini ramai orang beranggapan kucing pandai untuk mendandan diri sedangkan haiwan peliharaan itu perlu dimandikan kerana faktor kesihatan dan kebersihan.

“Bagaimanapun kesedaran itu semakin bertambah dan industri ini semakin mendapat permintaan menggalakkan sejak 2017.

“Walaupun di awal industri ini bertapak di Malaysia, permintaan perkhidmatan pendandanan kucing tidak menggalakkan kerana waktu itu harganya tidak mampu milik, namun kini kesedaran semakin baik,” katanya.

Selain itu, Noor yang bermula dengan membuka sebuah kedai haiwan peliharaan di Balakong pada 2017, kini beliau yang mempunyai tiga premis boleh berbangga apabila industri ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan pemilik kucing.

“Sekarang ini kesedaran semakin bertambah, bermula 2023 kita tengok dunia kucing sedang berkembang, walaupun ekonomi kita meleset, hampir setiap hari ada sahaja orang nak belajar dandan kucing.

“Ada pelajar-pelajar saya datang dari Indonesia, Filipina dan Singapura, ramai nak belajar dandanan kucing sebagai professional cat groomer kerana kerjaya ini kini mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Purrfection Catz jadi akademi pertama di Malaysia

Tempat rawatan kucing yang terdapat di Purrfection Catz Grooming Academy, Balakong, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Noor juga boleh berbangga apabila beliau menjadi individu pertama yang mempunyai akademi pendandanan kucing yang pertama di Malaysia sejak dibuka pada 2017.

“Akademi ini sebenarnya kita wujudkan pada 2017, masa itu saya mengajar di kedai saya iaitu My Own Pet Shop, antara kedai saya yang pertama di Balakong, ia adalah kedai haiwan peliharaan sepenuhnya di mana jual barang runcit dan dandanan.

“Di situlah saya mengajar bermula 2017 dan kemudian pada 2022, kita berpindah ke sini untuk menjadi akademi sepenuhnya dengan kemudahan lengkap, ada ruang teori, ruang menunggu, ruang kering (dry grooming) dan ruang basah atau mandi.

“Sebenarnya ini adalah akademi pertama di Malaysia yang mempunyai premis yang betul dan lengkap dengan kemudahan pendandanan,” katanya.

Menurutnya, walaupun ramai yang mengajar pendandanan kucing di awal industri ini berkembang, namun ketika itu tiada premis khas untuk pengajaran dan pembelajaran yang sistematik.

“Sebelum ini ramai yang mengajar mendandan kucing di kedai pelanggan, tiada premis yang sesuai, guru akan pergi dari kedai ke kedai dan ketika ini hanya ada guru lelaki sahaja.

“Bermula dengan akademi ini, baru ada guru perempuan dan anak saya, cikgu Farah kini menjadi penentu trend,” katanya.

Antara produk mengenai penjagaan, pendandanan dan rawatan kucing yang terdapat di Purrfection Catz Grooming Academy Balakong, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Katanya, nama Purrfection Catz Grooming Academy mula melonjak apabila Noor sendiri mendandan kucing seorang pelanggannya yang memasuki pertandingan kucing, bukan sahaja menang bahkan mendapat pujian daripada panel hakim.

“Pujian itu menjadi penyuntik semangat kepada saya untuk mendalami lebih banyak ilmu pendandanan kucing.

“Hafizul atau Ciku Kiwi yang memiliki kedai haiwan peliharaan di Banting adalh guiru pertama saya. Kemudian saya terus belajar dan sekarang saya mempunyai 13 guru termasuk dari Malaysia, Indonesia, Thailand, China dan India.

“Saya pun sudah bergelar certified Groomers daripada Universal Cat Association (UCAS) dari China. Manakala anak saya, Farah baru dapat Feline Master Groomers dari Thailand, itu adalah kedudukan tertinggi untuk dandan kucing,” katanya.

Tempat mandi kucing yang terdapat di Purrfection Catz Grooming Academy, Balakong, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Kursus modular & intensif dandan kucing

Noor berkata, akademi miliknya menawarkan dua kursus pendandanan kucing iaitu peringkat modular dan intensif masing-masing dengan bayaran masing-masing bermula RM500 dan RM1,500.

“Kalau modular adalah kursus satu hari sahaja iaitu asas pendandanan profesional, dan kursus ini tidak menawarkan kelas untuk atasi kucing garang, styling dan mewarna bulu.

“Kursus intensif pula kita latih pelajar dari zero to hero, kursus ini antara tiga hingga empat hari dan hari ketiga ada hand sort, dia akan buat sendiri kucing tiga ekor, cikgu akan periksa, cikgu akan luluskan kalau lulus, kalau tidak dia gagal.

“Yuran kursus modular dari RM500 ke RM700 sebab kelas dia satu hari sahaja, dari jam 10 pagi hingga 5 petang, kelas teori sahaja dan pengenalan sedikit tentang dandanan.

“Yuran bagi kelas intensif pula bermula RM1,500 hingga RM5,000. Kalau pelajar antarabangsa, ada harga yang berbeza, kalau pelajar dari Singapura, kita ikut matawang AS Dollar kalau tidak kita rugi,” katanya.

Jelasnya, setiap pelajarnya diwajibkan menduduki kertas peperiksaan sebanyak 40 peratus dan bakinya 60 peratus untuk peperiksaan praktikal.

“Kita juga ada modul mengikut permintaan, baru-baru ini kita ada akademi dari Johor dia bawa 30 pelajar untuk belajar tentang kucing selama dua hari,” katanya.

Presiden Malaysia Cat Groomers Association, Noor Zainal menunjukkan sijil-sijil pencapaiannya di Seri Kembangan, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Silibus kursus dandanan kucing

Beliau tidak menafikan sebelum ini hampir tiada silibus yang standard menjadi rujukan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam kursus pendandanan kucing di negara ini.

“Sebelum saya mulakan kelas dandanan, tiada mana-mana cikgu yang mengajar kursus mengikut silibus, tetapi fokus lebih kepada pemahaman tentang syampu dan peralatan.

“Bila saya masuk (industri), saya buat penanda aras (benchmark) melalui National Cat Groomers Institute (NCGI) dari Amerika Syarikat kerana saya ahli di sana.

“Walaupun belum mempunyai Master Groomer di sana, disebabkan sedang mengikuti program Doctorate (PhD), saya hanya mengikut silibus mereka dengan buku dan bahan bacaan semua saya dapat.

“Dalam NCGI, kita menggunakan silibus merangkumi tentang pasal kucing, bukan hanya dandan sahaja, lebih kepada pemahaman tentang kucing.

“Silibus dalam akademi saya merangkumi NCGI, daripada cikgu dari Thailand, Indonesia serta India, saya suka sebab method-method mereka ambil saya akan kongsi dalam modul saya,” katanya.

Pusat penjagaan, pendandanan dan rawatan kucing di Purrfection Catz Grooming Academy Balakong, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

Kepentingan dandan kucing

Sebagai Presiden MCGA, Noor mahu melihat industri pendandanan kucing itu mengikut standard tertentu dengan harapan pemilik kucing boleh senyum lebar selepas hantar haiwan peliharaan mereka agar lebih cantik, sihat dan tidak tertekan.

“Kalau kita nak pelihara kucing, kena ada kemampuan bukan setakat bagi makan dan minum tapi kita kena juga bawa ke klinik buat pemeriksaan berkala, ambil vaksin dan sebagainya.

“Dalam dunia dandanan, kucing bulu panjang kena dandan dua kali sebulan, kucing bulu pendek pula sebulan sekali atau paling lama dua bulan.

“Ia bagi memastikan kucing sentiasa cantik, sihat, bulu berkilat, secara automatik kita pun tidak terdedah kepada kutu, hama bila nak peluk, cium dan tidur dengan kita,” katanya.

Selain itu, katanya tujuan dandanan kucing dilakukan untuk menyelesaikan semua masalah kucing, bukan sahaja kesihatan bahkan masalah kulit dan bulu si bulus.

“Masalah penyakit kulit, fungus, bulu, inilah tujuan kita pendandan untuk menyelesaikan masalah ini supaya kucing sihat, sekaligus akan jadi cantik,” katanya.

Presiden Malaysia Cat Groomers Association, Noor Zainal bersama Presiden KLTVET, Dr. Zam@Abd Razak Zamri selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MCGA jalin kerjasama dengan KL Business & TVET Certified Institute (KL-TVET)

Sementara itu, MCGA juga telah menjalinkan usahasama dengan KL Business & TVET Certified Institute (KL-TVET) untuk memperkasakan industri ini dengan melahirkan lebih ramai pendandan kucing bertauliah dan mewujudkan pusat dandanan yang bertauliah mengikut standard yang ditetapkan.

“Kerjasama ini kita nak beri kesedaran bahawa dandanan haiwan itu perlu untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan kucing.

“Kita ingin buka mata semua pencinta kucing di luar sana bahawa apabila anda ada kucing, nak hantar dandan, anda harus memilih pendandan yang bertauliah bukan hanya hantar kepada orang-orang yang tidak bertauliah.

“Kita nak elakkan berlaku kucing anda dimandikan di sinki bilik air, atau mandi menggunakan sabun cuci pinggan, ini kesedaran yang kita cuba wujudkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette