Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan melibatkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba dengan dua kematian sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, pecahan kes mengikut negeri ialah masing-masing lapan kes di Perak dan Kedah, Selangor (enam), Johor dan Negeri Sembilan ( lima), Pahang (empat), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba telah dilaporkan.

Kes kematian melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan.

Pada masa ini, terdapat empat kes yang masih mendapat rawatan di hospital iaitu satukes strok haba yang dirawat di unit rawatan rapi dan tiga kes dirawat di wad biasa, yang terdiri daripada dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba.

Kes-kes lain telah sembuh dan didiscaj.

Seorang lelaki berumur 24 tahun telah dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson sejak 10 Mac 2024 dipindahkan ke ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 April 2024.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktviti fizikal lasak, serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan. – MalaysiaGazette