KUALA LUMPUR – Kumpulan profesor kesihatan dan perubatan mendakwa pihaknya tidak jelas dengan merit cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) Akta 50 semata-mata untuk menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan

Ketuanya, Profesor Dr Noor Hassim Ismail berkata, ia kerana jurang ini  boleh diselesaikan tanpa  meminda Akta 50.

“Pelajar pasca siswazah ini telah menyertai program “Parallel Pathway” tanpa mematuhi proses yang sewajarnya ketika itu.

“Tidak ada percubaan oleh penganjur “Parallel Pathway” untuk mematuhi undang-undang apabila Akta Perubatan (dipinda) 2012 berkuat kuasa pada 1 Julai 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini..

Rabu lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan kerajaan bercadang untuk meminda Akta 50 yang bertujuan menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini di peringkat akhir pindaan dan berharap usaha ini akan membantu kerajaan dalam memperkasa dan mengawal selia kedua-dua program berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hassim berkata, universiti tempatan mesti terus memainkan peranan penting sebagai pemimpin dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan teknologi.

“Dalam aktiviti pengajaran, universiti hendaklah memastikan pematuhan kepada piawaian mengenai latihan profesional untuk doktor pakar serta pendidikan yang diperlukan untuk pembangunan personaliti,” katanya lagi.

Lantaran itu, beliau mencadangkan agar universiti tempatan diperkasakan supaya menjadi tumpuan pendidian tinggi dalam program kepakaran perubatan.

Antara lain, menjadi pusat latihan kepakaran perubatan dan mempunyai kemudahan penyelidikan, mewujudkan pusat pembangunan sumber manusia dalam bidang kepakaran perubatan serta dapat memastikan bilangan kakitangan akademik terlatih mencukupi di setiap universiti untuk menjalankan program pascasiswazah.

Langkah itu juga jelas Dr Hassim akan turut menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan perubatan untuk pengambilan pelajar tempatan termasuk pelajar antarabangsa dan boleh membangunkan kepakaran ke arah pembangunan kemudahan perubatan untuk pendidikan perubatan pascasiswazah serta pembangunan penyelidikan perubatan.

Menurutnya, terdapat sembilan buah universiti tempatan yang menawarkan 106 program latihan doktor pakar perubatan yang terjamin kualiti di Malaysia.

“Program latihan pakar perubatan tempatan ini telah menjalani penambahbaikan berterusan dan jaminan kualiti selama lebih dari 40 tahun.

“Ini adalah usaha universiti-universiti tempatan untuk mempertabat pendidikan pakar perubatan di negara kita,” katanya lagi.

Awal April lepas, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15, pada Jun ini.

Ini bagi memastikan pakar perubatan yang telah menamatkan latihan mereka di bawah PPP akan didaftarkan dan diiktiraf. – MalaysiaGazette