Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa semua pihak di rantau yang terlibat untuk mengelak dan berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Timur Tengah.

Serangan oleh Iran ini adalah sebagai serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap konsulat Iran di Damascus pada 1 April 2024.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Iran menyatakan bahawa ini merupakan tindakan bela diri berdasarkan kepada Piagam 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setelah serangan berakhir, Perutusan Tetap di PBB mengumumkan Iran menganggap tindakan mereka terhadap Israel dibenarkan dan “dianggap selesai”.

Namun, menegaskan sekiranya rejim Israel atau sekutunya “melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat” dan akan terus menyebabkan serangan yang tidak berpenghujung.

Mohamad berkata, sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin.

Ia kerana matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.

Oleh itu, Malaysia menyahut seruan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta
merta.

Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif, akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa, ujarnya. – MalaysiaGazette