Kementerian Pengajian Tinggi. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memantau keadaan di Timur Tengah yang membabitka antara  Iran dan Israel.

Menurut kenyataan KPT, konflik itu dijangka memberi tempias secara tidak langsung kepada negara-negara di sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lebanon dan Iraq.

“KPT sedang memantau perkara ini secara langsung menerusi pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan tindakan lanjut yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.

“Pihak berkuasa juga memaklumkan akan penutupan ruang udara di beberapa negara terlibat,” katanya, hari ini.

Semalam, Wisma Putra berkata, ia memantau perkembangan di Asia Barat berikutan ketegangan antara Iran dan Israel.

Rakyat Malaysia di rantau itu dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan gangguan pada jadual penerbangan dan membuat penyusunan yang perlu terhadap rancangan perjalanan mereka.

Sementara itu, KPT akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk sebarang tindakan lanjut sekiranya terdapat keperluan membawa pulang pelajar dari negara berkaitan.

Mengikut rekod semasa pelajar Malaysia yang berdaftar adalah seramai 1,872 orang di Jordan, 37 orang di Syria, 8 orang di Iran dan tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq pada ketika ini.

Dalam pada itu, KPT menasihatkan rakyat Malaysia khususnya pelajar-pelajar di negara berkenaan bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Semoga krisis ini akan segera menemui jalan penyelesaian dan keadaan kembali aman,” katanya.

Ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh terus menghubungi Kedutaan Malaysia  di Tehran di talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau e-mel di alamat [email protected] [email protected].

Bagi ibu bapa pelajar di Jordan, mereka boleh menghubungi kedutaan Malaysia di Amman di talian (+962) 6590 2400 (+962) 78590 2400 atau e-mel di alamat [email protected] [email protected]. – MalaysiaGazette