Superintendan Zaiham Mohd Kahar

KUALA LUMPUR – Mayat manusia yang hampir reput ditemui oleh orang awam di lereng bukit Kilometer 15.1 Genting Highlands, Bentong, Pahang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar yang mengesahkan penemuan itu berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai mayat itu selepas menerima panggilan awam pada jam lebih kurang 3.40 petang.

Katanya, orang awam itu memaklumkan dia menemui mayat di lereng bukit berhampiran KM15.1 jalan menghala turun dari Genting Highlands.

“Hasil pemeriksaan awal polis selepas tiba di lokasi kejadian itu telah mengesahkan satu mayat yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

“Sepasukan pegawai polis dari IPD Bentong bersama Unit Forensik Kontinjen Pahang turut hadir ke lokasi untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

Katanya, buat masa ini, kes sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut sementara menunggu laporan penuh keputusan bedah siasat.

“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Selain itu, pihak polis juga mohon kerjasama mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga disarankan supaya segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran untuk tindakan lanjut,” ujarnya.- MalaysiaGazette