Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara saman sivil SRC ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan tidak ada sebarang kajian daya maju (due diligence) dilakukan oleh syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) terhadap dana pelaburan RM1.8 bilion milik Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Perkara itu didedahkan oleh saksi, bekas Pengarah SRC International, Datuk Shahrol Azral Halmi yang mendakwa, usaha itu tidak dilakukan kerana resolusi pekeliling telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Dakwa Shahrol Azral, tidak ada pihak yang menyoal atau menyangkal tindakan itu kerana pada pandangan mereka arahan itu dikeluarkan oleh seorang perdana menteri dan juga  menteri kewangan.

“Saya telah lakukan tanpa menyoal kerana menganggap ini adalah (arahan) perdana menteri. Saya jenis yang suka tahu lebih dan adanya maklumat tambahan berkaitan sesuatu aktiviti syarikat berkepentingan tetapi saya tetap teruskan dan menandatanganinya.

“Pada pandangan saya, ini adalah cetusan idea perdana menteri dan beliau adalah perdana menteri maka pastilah idea beliau sangat baik,” katanya ketika prosiding saman sivil AS$1.8b terhadap Najib oleh SRC.

Ketika disoal oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, kata Shahrol Azral lagi, pihaknya cuba mendapatkan maklumat tambahan seboleh mungkin namun kerana sudah ditandatangani oleh Najib, syarikat dana strategik itu meneruskan sahaja tindakan melabur ke luar negara.

Untuk makluman, dana itu telah dipindahkan kepada beberapa syarikat luar iaitu Falcon Private Bank Ltd di Switzerland dan Julisu Baer di Hong Kong.

Ini juga bagi memperolehi dua syarikat di Indonesia, PT ABM Investment dan Bumi Resources TBk dan dua lagi syarikat di Mongolia.

Sebelum ini, bekas Pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail telah mendedahkan bekas CEO, Nik Faisal telah diarahkan oleh Najib untuk memindahkan wang sebanyak itu p sekitar 2011.

SRC ketika ini sedang menyaman Najib yang didakwa telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan manfat secara peribadi menggunakan dana syarikat tersebut.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas didapati mahkamah menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan akan bersambung pada 6 Mei ini di hadapan Hakim Datuk Fairuz Zainol Abidin. – MalaysiaGazette