UMNO Akmal
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mengakui tidak mempunyai sebarang formula khusus untuk menarik undi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kenyataan Pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang meminta Kerajaan Perpaduan memikirkan formula tertentu bagi memanfaatkan Dr Akmal agar dapat menarik semula sokongan pengundi Melayu di PRK berkenaan.

Sebaliknya Dr Akmal menegaskan beliau hanya mempunyai prinsip yang perlu dipertahankan iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu.

“Saya berterima kasih atas pandangan di dalam artikel yang telah dikeluarkan oleh MalaysiaKini mengenai perlu fikir formula gunakan Dr Akmal Saleh untuk tarik undi Melayu.

“Jangan sesekali sentuh isu sensitif orang Melayu iaitu jangan sesekali sentuh agama Islam, jangan sesekali sentuh bangsa Melayu dan jangan sesekali sentuh Raja-raja Melayu,” katanya menerusi hantaran terbaharu Facebook hari ini.

Menurit beliau, orang Melayu bukan bersifat rasis tetapi hanya mempertahankan hak mereka tanpa mengambil hak kaum lain di negara ini.

“Kami boleh berkawan dan memahami dengan sesiapa sahaja tetapi sekali disentuh tiga perkara utama ini. Orang Melayu tidak akan berdiam diri walaupun menggunakan sesiapa sahaja waima Dr Akmal Saleh pun tidak mampu untuk menarik undi orang Melayu jika ia berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Fauzi berpandangan kerajaan sekarang harus memikirkan formula tertentu bagi memanfaatkan Dr Akmal agar mereka dapat menarik semula sokongan pengundi Melayu dalam PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Beliau menjelaskan, Putrajaya tidak boleh terus hanya bergantung pada sokongan bukan Melayu.

Hal itu kerana, katanya, keranan komposisi kaum pengundi di kawasan DUN terbabit tidak jauh berbeza.

Ahmad Fauzi menegaskan, Dr Akmal ketika ini berjaya memposisikan dirinya sebagai wira nasionalis Melayu yang merupakan teras ideologi UMNO. – MalaysiaGazette