Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memberikan penjelasan penuh mengenai kontrak Hietech Padu Berhad sebanyak RM190.01 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada jemaah menteri.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, Anwar menegaskan keputusan memberikan tender berkenaan juga tiada kaitan dengan pelantikan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai pemegang saham terbesar Hietech.

“Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan telah beri penjelasan mendalam kepada jemaah menteri sebagai contoh keberkesanan sistem MySikap ini yang projek telah diberikan dan dimenangi Hietech Padu secara tender terbuka.

“Ia diluluskan Lembaga Tender MOT pada 24 November tahun lalu manakala Kementerian Pengangkutan telah luluskan pada 2 Februari tahun ini.

“Pembelian saham oleh Roseeta Partners Sdn Bhd berlaku pada 16 Mac bermaksud keputusan berikan tender kepada Hietech telah diputuskan tahun lalu, jadi tidak ada kena mengenai keberadaan mana-mana pihak Hietech untuk kelulusan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Hietech juga tidak menerima apa-apa kelulusan baharu setakat ini.

“PM telah mamaklumkan Hietech tidak terima apa-apa kelulusan baru dalam mana-mana  tender setakat ini,” kata Fahmi lagi.

Semalam dalam kenyataan keada Bursa Malaysia, Hietech memaklumkan tender berkenaan adalah bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem MySikap di semua pejabat JPJ.

Kontrak bagi tempoh 36 bulan itu bermula dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih saham HeiTech Padu bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga selesai kontrak itu. – MalaysiaGazette