Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim bersama ratusan mangsa skim pelaburan berkumpul selepas menyerahkan representasi di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji semula laporan kes membabitkan 500 mangsa skim penipuan pelaburan yang mencecah kerugian RM1 bilion.

Gesaan tersebut dibuat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) agar pertuduhan jenayah perlu dikenakan terhadap dalang kepada beberapa syarikat utama itu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya berharap Peguam Negara dapat mengeluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman agar siasatan dibuka semula.

“Kami menyeru agar Peguam Negara meneliti perkara itu kerana kami percaya kes mereka telah dirujuk kepada agensi lain dan tidak lagi disiasat oleh polis.

“Keadilan perlu ditegakkan kerana dua syarikat utama itu masih aktif dengan menggunakan tokoh korporat terkenal selain menawarkan dividen sehingga empat peratus sebulan yang langsung tidak masuk akal,” katanya selepas menyerahkan representasi kepada wakil AGC di sini hari ini.

Malah katanya, syarikat itu mengaburi mata pelabur dengan mendaftarkan syarikat dengan nama Berhad dan Suruhanjaya Sekuriti selain ada bekas tokoh pegawai kerajaan terkemuka menjadi ahli pengurusan tertinggi.

Susulan itu, beliau berharap pelaku dikenakan hukuman tegas kerana pakej langganan saham ditawarkan tidak mematuhi undang-undang yang mengawal selia syarikat pelaburan di negara ini.

Beliau memberitahu, mangsa mula ditipu apabila mereka tidak lagi menerima dividen ketika pandemik Covid-19 dan usaha berhubung dengan pihak syarikat terbabit menemui jalan buntu.

Fazlifah Awang

Salah seorang mangsa, Fazlifah Awang, 49, berkongsi rasa kesal apabila dia bersama ibunya rugi RM300,000 selepas menyertai skim pelaburan dalam sektor pertanian yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Peniaga dari Puncak Alam, Selangor itu memohon pihak kerajaan campur tangan kerana membabitkan ramai mangsa sehingga merekodkan kerugian tinggi dan modus berkenaan masih berlarutan sehingga ke hari ini. – MalaysiaGazette