Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengiringi calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berharap MCA akan dapat membantu jentera berkempen Kerajaan Peroaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh khusus bagi tujuan itu namun, yakin suasana akan berubah apabila ‘kedukaan’ MCA kembali reda.

Beliau turut melahirkan keyakinan jalinan persahabatan erat dengan MCA sejak 1955, mampu meredakan pergeseran yang berlaku antara parti itu dan DAP.

“(Kerjasama MCA) di peringkat Bahagian dan DUN saya tidak nampak masalah yang besar. Mereka akan menggerakkan jentera yang ada.

“Namun, kita memahami dan menyantuni yang di atas sana (kepemimpinan utama MCA),” katanya juga Presiden UMNO.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terbabit dalam aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

Susulan itu, MIC turut mengambil keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala harin ini, 27 April sebagai hari penamaan calon. – MalaysiaGazette