Peguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin hadir bagi sambungan perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-49 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini  bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak percaya syarikat Blackstone Asia Real Estate itu milik kerajaan Arab Saudi.

Blackstone sebenarnya didakwa milik Eric Tan Kim Loong iaitu sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin yang juga merupakan antara pegawai penyiasat penyewelengan dana 1MDB, Najib sendiri mendedahkan beliau percaya syarikat itu dimiliki atau di kawal Raja Abdullah ketika memberikan keterangannya kepada agensi itu.

Kata Nur Aida, Najib dalam keterangannya mendedahkan maklumat tersebut kepada SPRM malah mantan Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak pernah menunjukkan sebarang  dokumen membuktikan Eric Tan adalah benefisiari syarikat Blackstone.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa Najib sebenarnya tidak pernah memberikan apa-apa arahan kepada Eric Tan untuk memindahkan dana sebanyak RM90,899,927.30 masuk ke akaun peribadinya sekitar tahun 2012.

Selain itu, Najib telah menerima dana daripada syarikat Blackstone sebanyak AS$30 juta dalam dua pemindahan pada tahun 2012.

Bagaimanapun ketika disoal, kata Nur Aida, SPRM tidak pernah mengambil kenyataan daripada Eric Tan berhubung perkara itu.

Difahamkan juga Eric Tan juga kini dalam pelarian dan belum berjaya dijejaki.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan mendedahkan semakan penyata bank menunjukkan bahawa akaun 694 AmPrivate Banking-MR Najib di AmBank telah menerima wang daripada Blackstone pada akhir 2012.

Adam mendedahkan rekod bank Blackstone’s Chartered menunjukkan entiti itu memindahkan dana 1MDB kepada Najib dalam dua peringkat, pertama AS$5 juta pada 30 Okt 2012, dan kedua AS$25 juta pada 19 Nov 2012.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah.

Ketika ini, Najib sedang berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. -MalaysiaGazette