Steven Sim (kiri).

CYBERJAYA – Pekerja di negara ini akan memiliki hak untuk mengasingkan diri daripada tempat kerja yang berisiko tinggi apabila pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 2022 dikuat kuasa pada 1 Jun depan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia antara manfaat pindaan itu bagi menambah baik aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta melindungi seseorang terhadap risiko keselamatan dan kesihatan berkaitan aktiviti mereka yang sedang bekerja.

Beliau berkata, pindaan akta tersebut turut mewajibkan syarikat yang mempunyai lebih dari lima pekerja untuk melantik seorang pelaras keselamatan dan kesihatan.

“Antara perkara dalam pindaan terbaharu ini adalah ada satu tafsiran risiko untuk pihak berwajib dan majikan untuk menganalisa risiko di tempat kerja.

“Ada juga kewajiban untuk melantik penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekarang syarikat yang lebih lima orang pekerja atau ke atas wajib melantik seorang pelaras keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, di sini, hari ini.

Steven menambah, pihaknya gembira kerana telah berjaya mempercepatkan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang telah diluluskan pada penghujung 2021.

Kata beliau, warta untuk menguatkuasa pindaan terbaharu Akta ini pada 1 Jun ini telah ditandangani yang mana ia menekankan kepentingan pihak berwajib dan majikan untuk menilai situasi berisiko di tempat kerja.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kementeriannya telah menerima 13,000 pendaftaran dalam  Program Pertolongan Kecemasan Kesihatan Mental Pekerjaan (OMHFA).

Jelas beliau, jumlah itu diluar dugaan kerana hanya 10,000 permohonan disasarkan pada peringkat awal.

“Hanya masa dua bulan sahaja, 13,000 telah berdaftar dan 4,000 telah berjaya dilatih sebagai Mental Health First Aider.

‘Saya berharap usaha ini akan terus diperkasakan lagi dalam membentuk amalan keselamatan dan kesihatan yang baik di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette