Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis perasmian Sistem Penjanaan Tenaga Solar Pertama bagi Fasiliti Hospital di bawah IHH Healthcare Malaysia di Pusat Perubatan Prince Court, KL. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan lebih ramai rakyat mampu menyertai program pemasangan solar di kediaman mampu milik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan salah satu rancangan kerajaan dan terdapat insentif tertentu yang ditawarkan. 

“Itu sebahagian program yang kita rencanakan sebab itu kita masukkan meter yang baru ini, kuota baru tapi untuk projek-projek baru ini kita bekerjasama dengan TNB dan KPKT untuk bersama dalam program sebegini,” pada sidang media selepas merasmikan Sistem Solar, IHH Healthcare Malaysia di Hospital Prince Court, di sini, hari ini.

Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika ditanya mengenai keupayaan memilik rumah mampu yang dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk memasang sistem tenaga solar.

Menurut Fadillah, program pemasangan tenaga solar bukan sahaja digalakkan di fasiliti kesihatan swasta malah di hospital kerajaan.

Tambah beliau, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan inisiatif tersebut di hospital-hospital kerajaan seluruh negara.

Satu bangunan pintar dan efisien dengan menggunakan bahan-bahan jimat tenaga memandangkan kebanyakan bangunan kerajaan lama kita mulakan penggantian lampu yang banyak menggunakan tenaga elektrik supaya ada penjimatan, ia perlu (solar) dipasang.

“Bagi bangunan baru ia memang direncanakan termasuk bagi sumber air, bukan penjimatan elektrik sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, Fadillah mengumumkan program Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik.

Katanya, pelancaran SolaRIS dijangka meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) yang antara lain akan memberikan rebat RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu. – MalaysiaGazette