Pelajar tahfiz berbuka puasa dengan mengikut sunnah dengan makan di dalam talam pada program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

Oleh: Abdul Hadi Abd Aziz

DALAM keseronokan kita menyambut Aidilfitri, kita juga harus ingat akan tuntutan dan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Islam untuk diteruskan pada bulan Syawal setelah sebulan kita bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dalam mengejar pahala dan janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Antara tuntutan yang sangat dituntut ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Puasa enam hari di bulan Syawal memberikan pahala yang besar. Diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu melanjutkan dengan puasa enam hari di bulan Syawal, nescaya akan mendapatkan pahala seolah-olah dia telah berpuasa setahun penuh” – Riwayat Muslim.

Berdasarkan hadis ini, kita dapat fahami bahawa setiap satu amalan kebajikan itu di balas dengan 10 ganjaran. Jika kita berpuasa satu hari, maka ganjarannya umpama berpuasa selama 10 hari. Berdasarkan perkiraan ini, jika kita berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan misalnya, maka kita seolah-olah telah berpuasa selama 300 hari. Lalu ditambah pula enam hari di bulan Syawwal yang mana menyamai 60 hari ganjarannya, maka jumlah keseluruhan ganjaran pahala puasa seolah-olah setahun penuh iaitu 360 hari. Justeru, mungkin ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW. Maka jelaslah kepada kita bahawa orang yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal ganjarannya amatlah besar.

Selain itu, banyak hikmah yang mungkin kita dapat petik dari amalan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW untuk berpuasa enam hari di bulan Syawwal selepas bulan Ramadan.

 Menampung kekurangan puasa Ramadan

Ibnu Rajab rahimahullah dalam kitabnya Lataif Ma’arif menjelaskan bahawa puasa enam di bulan Syawwal dan puasa di bulan Sya’aban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu.

 Meneruskan momentum untuk beribadah

Berpuasa setelah berakhirnya Ramadan dapat membantu seseorang untuk mempertahankan dan menguatkan momentumnya pada bulan Syawal untuk berpuasa dan beribadah sebagaimana yang telah diamalkannya selama sebulan di bulan Ramadan.

Tanda diterima puasa Ramadannya

Ibnu Rajab rahimahullah menjelaskan bahawa sesiapa yang melakukan satu ketaatan sehingga selesai menjalaninya, maka tanda amalannya diterima adalah dengan menyambung setelahnya dengan ketaatan yang lain. Sebaliknya tanda tertolaknya amalan seseorang adalah setelah selesai sesuatu ketaatannya, disambung dengan kemaksiatan.

Menyucikan jiwa

Sememangnya berpuasa membolehkan seseorang untuk terus menyucikan jiwanya dan mengukuhkan ikatan spiritualnya dengan Allah SWT setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan yang penuh berkah. Itulah tujuannya kita melanjutkan puasa di bulan Syawal termasuk bulan-bulan yang lain.

Kesempatan untuk mendapatkan ampunan

Melalui puasa di bulan Syawal juga, seseorang dapat terus mencari keampunan atas dosa-dosanya dan meningkatkan hubungannya dengan Allah SWT.

Menjadi contoh bagi orang lain

Dengan melaksanakan puasa enam hari di bulan Syawal, seseorang dapat menjadi contoh ikutan yang baik buat keluarga, rakan-rakan dan juga masyarakat sekitarnya serta ia dapat mendorong mereka untuk turut melaksanakan amalan tersebut.

Menguatkan hubungan sesama Muslim

Puasa di bulan Syawal juga merupakan kesempatan untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim di samping mereka melaksanakan ibadah ini bersama-sama serta mengingatkan mereka tentang pentingnya beribadah dan mendukung antara satu sama lain dalam menjalankan kewajipan agama.

Mendalami ilmu agama

Semasa menjalankan puasa di bulan Syawal, seseorang dapat menggunakan kesempatan ini untuk mendalami ilmu agama melalui pembacaan al-Quran, kitab-kitab ilmiah atau buku-buku keagamaan. Ini juga bertujuan untuk terus menyemarakkan diri dan sentiasa bersemangat untuk membaca al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu agama.

Menjadi seorang yang sentiasa tekun dan sabar

Puasa enam hari di bulan Syawal memerlukan ketekunan dan kesabaran yang sama seperti puasa dalam bulan Ramadan. Justeru ia akan membantu seseorang untuk terus meningkatkan kualiti dirinya, sifat peribadinya serta ketahanan mentalnya.

Sentiasa berkongsi rezeki

Sepanjang bulan Syawal, seseorang juga dapat memanfaatkan kesempatan dengan semangat Ramadan dahulu untuk berberkongsi rezeki dengan orang-orang yang memerlukannya seperti memberi sedekah atau membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ramadan telah mengajar seseorang menjadi sangat pemurah, justeru teruskan memberi dan berkongsi rezeki dengan orang lain.

Mengingatkan akan kebesaran Allah SWT

Melalui puasa di bulan Syawal, seseorang terus diingatkan dengan kebesaran Allah SWT dan rahmat-Nya yang melimpah ruah, serta pentingnya bersyukur atas segala nikmat yang diberikan-Nya.

Ganjaran Syurga ar-Rayyan bagi orang yang selalu berpuasa

Nabi SAW bersabda: “Di syurga ada lapan pintu, terdapat satu pintu dinamakan sebagai ar-Rayyan, tidak akan memasuki pintu ini melainkan orang-orang yang berpuasa. Riwayat Bukhari. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menjelaskan bahawa sesiapa dari kalangan orang yang selalu berpuasa, mereka akan dipanggil dan dijemput dari pintu ar-Rayyan.

Oleh itu, dengan kesempatan berbaki beberapa hari sahaja lagi di bulan Syawal, ayuh sama-sama kita menanam tekad dan azam untuk menyempurnakan tuntutan ini. Jika sekiranya kita tiada jemputan untuk dipenuhi pada hari-hari tertentu dalam bulan Syawal ini, adalah sangat dianjurkan untuk kita meneruskan dengan berpuasa enam sebagaimana yang disebut oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa dan semoga segala amal ibadah kita diterima-Nya dan dimasukkan ke dalam Syurga ar-Rayyan.

 

Penulis dari Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)