KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menafikan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada mengeluarkan arahan melarang empat individu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Penafian terhadap kenyataan Ahmad Zahid pada 24 Julai lalu membabitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Raifizi Ramli.

Dua lagi individu adalah Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh bernama Wan Hadi.

“Palsu,” menurut ibu pejabat BN, hari ini, bagi menafikan kenyataan media yang menggunakan nama Ahmad Zahid sebelum ini yang didakwa bersetuju untuk tidak membenarkan mana-mana unit Daerah Mengundi BN menjemput empat individu itu tampil atas pentas ceraman politik sepanjang PRK Nenggiri.

Kenyataan itu menyatakan langkah berkenaan dilakukan bagi mengambil ikhtibar daripada kekalahan PRK DUN Sungai Bakap lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos depan, manakala 17 Ogos adalah hari pengundian.

PRK itu diadakan berikutan pengumuman Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

UMNO menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon BN manakala Perikatan Nasional (PN) masih belum menamakan calon mereka. – MalaysiaGazette