Razali Idris

KUALA LUMPUR – DAP tidak sepatutnya terlalu berbangga dengan sumbangan hampir RM1 bilion daripada syarikat arak kerana ada juga pelajar Melayu dan Islam di sekolah aliran Cina.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, sumbangan dana syarikat arak itu seharusnya di luar lingkaran sistem pendidikan dan tindakan DAP seolah-olah tidak menghormati peraturan Kementerian Pendidkan (KPM).

“Parti DAP selama ini tidak menghormati peraturan yang ditetapkan, seolah-olah tidak menghormati semangat muhibbah dan perpaduan serta Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat menolak sepenuhnya sebarang elemen negatif seperti arak dalam institusi pendidikan. Rakyat menolak setiap agenda DAP yang banyak menongkah arus, umpama musang berbulu ayam,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Razali yang juga Ahli Dewan Negara, sekolah seharusnya bebas daripada anasir arak, rokok dan perkara yang menjurus kepada elemen yang negatif.

“Sewajarnya KPM menolak terus sumbangan dana yang mempunyai imej negatif seperti arak untuk disalurkan kepada sekolah,” katanya.

Media semalam melaporkan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya menjadi Menteri Pendidikan kepada Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘Menteri Pendidikan Pas’.

Ia susulan kontroversi mengenai penglibatan syarikat minuman keras dalam kempen kutipan dana di sekolah vernakular yang mana Guan Eng menyifatkan kenyataan Fadhlina dalam isu terbabit agak keras.

Terdahulu, KPM mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam. – MalaysiaGazette