Mohamed Khaled (tiga kanan) melancarkan tabung Palestin UMNO Bahagian Pasir Gudang selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Besar UniKL, Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – UMNO yakin Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon UMNO-Barisan Nasional (UMNO-BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mampu merampas semula kerusi itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana parti melihat calon berkenaan akan diterima diterima baik pengundi dan mempunyai kemampuan untuk menang dengan sokongan kuat jentera parti.

Beliau melihat calon UMNO-BN itu tidak akan berdepan masalah untuk berkempen kerana sebelum ini sering mendapat kerjasama dari bahagian lain.

“Kita akan berusahalah untuk pastikan kejayaan pada parti. Saya percaya dalam setiap penyertaan kita akan berusaha pastikan kemenangan.

“Inya-Allah DUN itu pun merupakan kawasan UMNO dan saya percaya, ini merupakan peluang penduduk untuk bagi mengatasi semua permasalahan yang wujud,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Seri Alam di sini hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad mengummkan Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan sebagai calon PRK DUN Nenggiri.

Md Alwi berkata, Mohd Azmawi yang merupakan calon anak tempatan, telah lama berkhidmat di kawasan tersebut dan dilihat sewajarnya dipilih masyarakat di situ untuk mewakili mereka, sekali gus menambah suara di DUN Kelantan.

Pada 19 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong, selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari pengundian.- MalaysiaGazette