Datuk Seri Khaled Nordin

PASIR GUDANG – UMNO Johor tidak harus tumpu untuk menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja bagi membolehkannya menjadi kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fokus juga harus diberikan terhadap kerusi Parlimen supaya dominasi parti tersebut tidak hanya di negeri sebaliknya turut mempunyai kuasa di peringkat Pusat.

“Kita tidak boleh hanya berfikir (penguasaan politik) di Johor sahaja. Mungkin kita menang di peringkat DUN Johor, kita boleh fikir untuk pergi ke setengah-setengah bahagian untuk kita (membuat usul) tidak bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi kalau Johor sahaja Barisan Nasional (BN) menang tetapi di negeri lain semua kita kalah, kita tidak akan ada langsung penyertaan (wakil dalam kerajaan) di peringkat kebangsaan atau di peringkat Pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Seri Alam di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat usul persidangan dari beberapa UMNO bahagian di negeri ini antaranya di Tenggara dan Kluang yang mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP kerana dilihat merugikan UMNO dan orang Melayu.

Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara minggu lalu berkata, belum tentu lagi UMNO akan bersama mana-mana gabungan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, semua pihak dalam UMNO di negeri ini perlu faham parti itu diasaskan daripada perjuangan kebangsaan yang berjaya memberikan kemerdekaan dan membawa pembangunan di negara ini.

Tegas beliau yang juga Menteri Pertahanan, UMNO adalah parti yang berasaskan perjuangan nasionalisme dan bukan perjuangan untuk negeri.

Menurutnya, UMNO bersetuju bersama-sama PH melakukan jajaran politik baharu iaitu membentuk Kerajaan Perpaduan dengan tidak menggadaikan prisinp dan nilai perjuangan parti tersebut yang didukung sejak penubuhannya.

“UMNO tidak sekali-kali pinggirkan atau tinggalkan perjuangannya walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan. Dalam Kabinet kita akan cakap terus terang, boleh kita kata boleh, tidak boleh kita kata tidak boleh,” katanya.

Beliau mengakui sebelum ini DAP banyak menyentuh pelbagai perkara berkenaan sensitiviti orang Melayu tetapi sekarang tidak lagi kerana parti tersebut perlu berfikir banyak kali sebelum membuat kenyataan kerana sudah bersama-sama UMNO dalam kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya sebelum ini UMNO memilih untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15, UMNO kemungkinan tidak ada lagi hari ini.

“Saya ingat kita tidak boleh kembali semula untuk 30, 50 atau 60 tahun lagi, kita tidak akan ke mana dan akan lenyap daripada politik tanah air, kena ingat itu. UMNO nak keluar (daripada Kerajaan Perpaduan) macam kuat sangat,” katanya. -MalaysiaGazette