Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Nor Azizah Ahmad (empat dari kanan)

KUALA SELANGOR – Bekas calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Habibah Mohd Yusof gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang pada pemilihan semula sayap parti itu, semalam.

Sebaliknya pencabarnya, Nor Azizah Ahmad berjaya menewaskan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang era pentadbiran Tan Sri Noh Omar selepas memperoleh 272 undi berbanding Habibah yang mendapat 145 undi.

Menurut Nor Azizah, kemenangan diperoleh itu diharap dapat menyatu dan memperkukuhkan semula wanita bahagian berkenaan selepas Noh digugurkan keanggotaan serta semua jawatannya pada 27 Januari lalu.

“Saya bersyukur akhirnya jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang selesai selepas isu penggantungan sejak setahun empat bulan lalu,” katanya yang dimuat naik di Facebook UMNO Selangor, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Selangor, Datuk Salamon Selamat pada pemilihan semula Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Datuk Seri Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor, Kuala Selangor, semalam.

Terdahulu, pengumuman itu dibuat dan disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Selangor, Datuk Salamon Selamat di Dewan Datuk Seri Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, semalam.

Sebelum ini, kemenangan Nor Azizah sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dalam pemilihan sayap parti itu dibatalkan pada 26 Mei tahun lalu.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Ketua Wanita pula, Ruzita Rashid mengatasi Ketua Wanita Cawangan Berjuntai Bestari, Yusriza Marina Yeop.

Ruzita mendapat 300 undi, manakala Yusriza memperoleh 115 undi dengan majoriti 185 undi. – MalaysiaGazette