Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bercakap pada media selepas hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang Kali Ke-36 Tahun 2024 di Dewan Dato' Hormat, Tanjong Karang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 JULAI 2024.

TANJONG KARANG – Kekuatan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak  setanding dengan Tan Sri Noh Omar kerana kedua-dua figura politik itu mendapat sokongan jentera dan akar umbi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, walaupun UMNO Bahagian Tanjong Karang dikatakan kuat kerana Noh hakikatnya bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu tidak bekerja bersendirian.

“Tan Sri Noh Omar kuat waktu Datuk Sulaiman membantu, semua jentera membantu sekarang tidak mustahil kalau Datuk Sulaiman dibantu jentera yang ada pada hari ini, kekuatan itu akan pergi kepada beliau.

“Maknanya Tan Sri Noh tak akan boleh bekerja seorang, beliau dibantu sebelum ini, saya sendiri pun dibantu jentera (UMNO Bahagian Lipis) baru kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu Abdul Rahman merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Dato Hormat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.

Menurut Abdul Rahman, UMNO hanya akan kuat di mana-mana bahagian jika akar kepimpinan dan akar umbinya tidak bergaduh, bersengketa dan berpuak-puak.

“Sebab itu saya minta supaya kita bertaut kembali, takkan kita selama-lamanya nak jadi pembangkang. Kita nak berubah jadi kerajaan. Kalau jadi kerajaan, baru boleh buat pelbagai perkara yang boleh bantu ahli sendiri.

“Kalau masih berpuak, masih lagi ke hulu ke hilir, dan ada kumpulan A dan B, tak mungkin kita jadi kuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette