98 paket plastik lutsinar kecil dadah jenis syabu yang disorokkan dalam bungkusan tuala wanita. Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang perempuan ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa di Hulu Selangor pada 27 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 51 tahun dicekup di sebuah rumah di Bukit Beruntung pada jam 11.15 malam.

Katanya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan 98 paket plastik lutsinar kecil dadah jenis syabu yang disorokkan dalam bungkusan tuala wanita.

“Anggaran berat semua dadah terbabit adalah 60.35 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis sita menyita kereta jenis Toyota Vios, cincin dan wang tunai RM 120. – Foto Ihsan PDRM

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai sembilan rekod lampau dan  hasil ujian air kencing positif dadah.

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM 6,968.50 dan barang terlarang itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Hulu Selangor. Selain turut disita kereta jenis Toyota Vios, cincin dan wang tunai RM 120.

“Susulan itu, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 3 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” jelasnya.

Tegas beliau, hasil analisa mendapati kesemua dadah itu boleh dibekalkan kepada 120 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.50 gram. – MalaysiaGazette