Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memainkan peranan  meredakan pergeseran antara Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhubung isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, apa yang berlaku antara Pas dan Gerakan itu hanya salah faham yang boleh diselesaikan di meja rundingan.

“Apabila kita bercakap kepada media banyak salah faham berlaku. Jadi, saya harap perkara ini akan dibawa ke mesyuarat untuk kita perhalusi dan turunkan suhu percakaran di luar dan kita tumpukan kepada permasalahan yang lebih besar iaitu isu-isu rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang memahami pendirian Pas serta Gerakan berhubung isu tersebut namun parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu perlu melihat kepada perkara lebih besar iaitu bagaimana untuk menguruskan perbezaan dan salah faham dengan baik.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, PN memerlukan Gerakan kerana gabungan politik itu mewakili masyarakat berbilang kaum.

“Kita tidak boleh kehilangan Gerakan sebab kita mewakil pakatan yang berbilang kaum, kita pakatan untuk semua. Biasalah dalam sebuah keluarga, adik dan abang kadang-kadang bergaduh, jadi kita nak uruskan perbezaan ini melalui mesyuarat dalaman,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, syarikat arak tidak sepatutnya dihalang untuk meyumbang kepada sekolah vernakular memandangkan Kerajaan Pusat tidak memberikan dana mencukupi untuk sekolah aliran itu beroperasi.

Kecewa dengan kenyataan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sekiranya parti tersebut terus berpendirian sebegitu.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu kemudian mengundang rasa tidak puas hati Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak meninggalkan pakatan politik itu selain turut mengingatkan Pas supaya tidak bertindak seperti taiko (abang besar) dalam PN. – MalaysiaGazette