Ong Lai Seng dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini kerana menyebabkan kematian terhadap seorang tukang masak empat tahun lepas.

GEORGE TOWN – Bekas pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang tukang masak empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Woon terhadap tertuduh, Ong Lai Seng, 69, selepas pertuduhan dan fakta kes dibacakan kepadanya oleh jurubahasa dalam bahasa Hokkien.

“Selepas mendengar hujahan dan mitigasi daripada peguam tertuduh serta pihak pendakwaan selain kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap iaitu 5 Disember 2020.

“Memandangkan tertuduh dilahirkan pada 13 Ogos 1955 dan kini berusia 69 tahun, dia dikecualikan daripada hukuman sebatan,” katanya.

Mahkamah mengecualikan hukuman sebatan terhadap tertuduh memandangkan dia kini berusia 69 tahun.

Terdahulu, mengikut pertuduhan pilihan, bekas pengawal keselamatan itu didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Chuah Kok Seong berusia 42 tahun dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Blok 08 Desa May, Persiaran Paya Terubong 1 di sini, jam 8.50 malam pada 5 Disember 2020.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan menyebabkan kematian kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, Helmi Hassan. – MalaysiaGazette