Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu segera mengadakan perbincangan berhubung bagaimana untuk menguruskan perbezaan antara parti komponen dalam memperkasakan keutuhan gabungan tersebut.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau berkata, sejak penubuhannya, PN tidak pernah mengadakan perbincangan bagi menyelaraskan perbezaan tersebut.

Ujar beliau, sebagai sebuah gabungan politik yang agak muda, PN masih mempunyai ruang untuk memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi atas kekuatan tersendiri.

“PN sudah capai tahap maksima dalam menguasai kepercayaan pengundi Melayu, keadaan ini hanya akan terus konsisten atau pun menurun pada masa depan. Yakni ia masih tidak mencukupi untuk bertakhta di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dominic, PN masih belum mampu mewakili semua kaum dan sekarang adalah masa terbaik untuk melakar strategi ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Saya lihat ada segelintir ahli-ahli Parlimen kita dah haus dalam naratifnya. Itu sahajalah ‘pi mai pi mai tang tu’ isu nak dibawa.

“Sementara kita memainkan peranan semak dan imbang, saya lihat kita sudah sampai bottleneck, waktu ini tepat pada masanya kita duduk dan berbincang,” katanya.

Tambahnya, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan bersama kepimpinan PN supaya satu forum dalaman antara akar umbi parti komponen PN dapat diadakan dalam masa terdekat.

“Budaya saling menghormati itu budaya kita. Kita mesti amalkannya dalam merealisasikan politik matang di negara kita,” katanya.

Terdahulu, keutuhan gabungan politik PN diuji susulan kontroversi derma syarikat arak kepada sekolah aliran apabila Gerakan tidak sependapat dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung isu terbabit.

Ia susulan kenyataan Dominic yang mana syarikat arak tidak sepatutnya dihalang meyumbang kepada sekolah vernakular memandangkan Kerajaan Pusat tidak memberikan dana mencukupi untuk sekolah aliran itu beroperasi.

Kecewa dengan kenyataan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada PRU-16 sekiranya parti tersebut terus berpendirian sebegitu.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu kemudian mengundang rasa tidak puas hati Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak meninggalkan PN selain turut mengingatkan Pas supaya tidak bertindak seperti taiko (abang besar) dalam PN. – MalaysiaGazette