Calon PN pada PRK DUN Nenggiri, Mohd. Rizwadi Ismail.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dinilai membuka gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan langkah kiri susulan kontroversi pemilihan calonnya iaitu Mohd. Rizwadi Ismail daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).

Terdahulu, wujud pertikaian berkenaan pemilihan Mohd. Rizwadi yang didakwa keluar daripada Pas dan menyertai Bersatu kurang dua hari sebelum majlis pengumuman calon PN kelmarin.

Keputusan menamakan Mohd. Rizwadi yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang itu kini memberikan gambaran seolah-olah Bersatu tidak mempunyai calon atau ahli akar umbi sendiri yang layak diketengahkan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, tindakan keluar daripada Pas dan menyertai Bersatu semata-mata untuk menjadi calon PN itu juga menunjukkan jentera Pas lebih banyak melakukan gerak kerja di kawasan tersebut.

Tambah Faisol yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), ia juga boleh dinilai percubaan untuk meredakan kemungkinan berlakunya gerakan memboikot ahli-ahli Pas di Nenggiri yang masih mendesak supaya calon parti itu diletakkan bertanding mewakili PN pada PRK tersebut.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

“Selain itu, keputusan ini juga mungkin berkait dengan kebimbangan berhubung isu ketaatan akibat tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

“Maka, pemilihan calon yang juga bekas pemimpin Pas itu dapat memastikan isu memberikan sokongan kepada parti yang bertentangan ini tidak lagi wujud dalam PN,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Rizwadi dikatakan baru menyertai parti itu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon PN pada PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos depan.

Pemilihan Mohd. Rizwadi yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikatakan dibuat pada saat akhir berbanding dua nama yang disebut-sebut sebagai calon Bersatu sebelum ini iaitu Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad.

Malah, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman dilaporkan turut menempelak pemilihan Mohd. Rizwadi itu dan menyifatkan Bersatu ketandusan calon untuk bertanding pada PRK Nenggiri sehingga terpaksa mengambil ahli Pas menyertai parti tersebut.

Dalam PRN DUN Nenggiri itu, UMNO telah menamakan Ketua Pemuda Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Faisol berkata, walaupun dilihat agak canggung, namun pemilihan Mohd. Rizwadi lebih kepada keputusan strategik bagi PN untuk memastikan kerusi DUN Nenggiri kekal menjadi milik gabungan parti tersebut pada PRK akan datang.

Ujar beliau, keputusan itu boleh dilihat sebagai satu langkah secara bersama antara Pas dan Bersatu dalam memastikan elemen calon boleh menang pada PRK tersebut tanpa mengambil kira asal usul parti calon berkenaan.

“Selagi mana calon tersebut boleh membawa kemenangan, maka kedua-dua parti akan mengambil pendekatan serupa,” katanya. – MalaysiaGazette