SAM gesa Kerajaan negeri Kedah meneliti semula aktiviti kuari negeri itu yang beroperasi di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Kedah meneliti semula aktiviti kuari negeri itu yang beroperasi di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu.

Gesaan itu turut diutarakan kepada Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB), Pejabat Tanah Dan Galian (PTG), Pejabat Daerah Dan Bandar Baharu, Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri tersebut.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, aktiviti kuari yang beroperasi menimbulkan pelbagai insiden termasuk keretakan pada dinding rumah, jalan berhabuk selain terkesan dengan bunyi mesin penghancur batu yang didakwa beroperasi sehingga lewat malam.

Katanya, lori yang keluar masuk dari tapak operasi kuari juga turut menjadi faktor menggugat ketenteraman penduduk.

Keadaan rumah penduduk retak didakwa berpunca daripada aktiviti kuari.

“Lebih merisaukan apabila penduduk mendakwa pemandu lori seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan bertindak memandu laju sekali gus tidak mematuhi had dibenarkan terutama di kawasan penempatan penduduk dan persekolahan.

“Sehubungan itu, kita menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memainkan peranan dalam hal ini dan membuat rondaan ke kawasan berkenaan bagi memastikan perkara itu dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Meenakshi, wakil penduduk Kampung Padang mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan dan bantahan di Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu, namun tiada tindakan berkesan diambil.

“Kita juga telah menghantar beberapa surat kepada pihak berkenaan baru-baru ini namun tiada sebarang maklum balas diberikan.

“Banyak perkara yang masih belum jelas terhadap isu kuari di situ antaranya ialah status kuari batu kerana pada asalnya, kesemua  kuari yang beroperasi di kawasan Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir merupakan kuari tanah merah.

“Walaubagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu dari kuari itu bertukar status kepada kuari batu dan ia perlu dijelaskan oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu serta PTG tanpa menuding jari kepada pihak yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut Meenakshi berkata, masalah lain yang dihadapi penduduk sekitar ialah membabitkan kuari tanah merah di jalan atas Bukit 300 kaki Serdang, Bandar Baharu.

“SAM difahamkan kuari itu juga memudaratkan penduduk yang berada di kawasan rendah kerana ketika hujan lebat, air dari kolam takungan kuari terbabit melimpah menyebabkan penempatan mengalami banjir lumpur terutama berhampiran sungai.

“Kita khuatir jika perkara ini tidak ditangani dengan sewajar, risiko bahaya terhadap keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam selain daripada kesan buruk kepada alam sekitar malah aspek keselamatan serta keberkesanan dalam penguatkuasaan dari pihak tertentu juga dipersoalkan,” katanya. – MalaysiaGazette