Speaker DUN Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan alasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) `meminjam’ ahli Pas sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk memenuhi citarasa pengundi sebagai mengarut.

Sedangkan, dakwa beliau, alasan sebenar mengapa bekas ahli Pas yang baharu menyertai Bersatu itu dipilih adalah bagi memenuhi citarasa Pas.

“Bersatu jadi parti ciplak kerana ikut telunjuk Pas. Sebab itu terikut-ikut buat sumpah laknat,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohd. Puad, Bersatu dari awal juga tidak mempunyai keaslian yang mana pemimpin utama parti itu juga berasal daripada UMNO.

“Nama, warna dan dasar parti semua ditiru daripada UMNO. Calon pun pinjam daripada Pas. Patut pinjam Annuar Musa (sebagai calon PRK Nenggiri),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Noor dilaporkan berkata, pemilihan bekas ahli Pas, Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Nenggiri dibuat untuk menepati ‘citarasa’ pengundi.

Katanya, tidak timbul soal ketandusan calon seperti didakwa UMNO sehingga Bersatu terpaksa ‘mengimport’ Mohd. Rizwadi yang menyertai parti itu dua hari sebelum diumum sebagai calon yang mewakili PN. – MalaysiaGazette