Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak (dua dari kanan) melawat pempamer di ruang pameran sempena Pahang AgroFest 2024

KUANTAN – Fenomena cuaca panas yang melanda seluruh negara tidak memberi kesan kepada sektor pertanian di Pahang.

Justeru, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak berkata, setakat ini tiada keperluan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri itu.

“Pahang setakat ini tiada (OPA). Walaupun cuaca sangat panas, belum sampai ke tahap kita menghadapi masalah. Empangan kita iaitu bekalan air pun masih lagi berada di tahap selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pahang AgroFest 2024 di Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program Pahang AgroFest 2024, Mohd Soffi berkata, ia julung kali dianjurkan bagi mengumpul kesemua penggiat industri daripada pelbagai latar belakang seperti pembekal jentera, input pertanian, pengusaha ladang, petani kecil, penternak, nelayan dan teknologi untuk berkongsi maklumat dan mengembangkan produk dan pasaran.

Terdapat 76 tapak pameran disediakan dengan melibatkan 62 pempamer dari pelbagai latar belakang iaitu dari badan kerajaan, pembekal jentera dan input pertanian, institusi kewangan dan perbankan, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pengusaha ladang, pembekal automotif, dron dan teknologi dari seluruh Malaysia.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah adalah bagi tujuan pertanian serta kegunaan domestik. – MalaysiaGazette