Lee Chong Wei

KUCHING – Wakil tunggal negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mara mudah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata di Stadium Perpaduan, Petra Jaya dekat sini.

Pada aksi suku akhir hari ini, Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan, mengekalkan rentak kemenangan dalam usaha meraih kejuaraan kali ke-12 pada Terbuka Malaysia.

Berada di ranking pertama dunia, Chong Wei hanya memerlukan 45 minit untuk menewaskan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-14.

Chong Wei yang muncul juara pada edisi tahun lepas, dijangka tidak berdepan tugas sukar pada perlawanan separuh akhir, esok.

Beliau dijadual bertemu pemain Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki yang meraih kemenangan percuma selepas pilihan ketiga, Chen Long dari China menarik diri.

Ketiadaan Chen Long memberi peluang lebih cerah kepada Chong Wei melangkah ke perlawanan akhir kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$600,000 (RM2.64 juta).

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Chong Wei berkata beliau berasa lega dapat menewaskan lawannya itu.

“Ini pertemuan pertama kami. Dia baru berusia 21 tahun dan cara permainannya agresif…agak sukar berdepan dengan beliau (Jeon Hyeok Jin). Namun saya tidak memberi peluang langsung kepadanya,” kata Chong Wei.

Ditanya mengenai aksi separuh akhir esok, pemain utama negara itu berkata beliau akan bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

“Saya mahu meraih kemenangan ke-12 pada Terbuka Malaysia dan berharap tiada pemain dapat memecahkan rekod saya (kejuaraan ke-11 setakat ini),” katanya.

Bagi Jeon Hyeok Jin, beliau berasa gementar beraksi menentang Chong Wei di hadapan penonton tempatan, tambahan pula perlawanan itu adalah yang pertama bagi mereka. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan