ISG
Gambar hiasan Lapangan Terbang Antarbangsa Sabiha Gokcen, Istanbul, Turki

KUALA LUMPUR- Turkish Airlines sedang membida untuk membeli lapangan terbang kedua Istanbul daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), demikian menurut lima sumber yang mengetahui mengenai urusniaga tersebut.

Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Turk Hava Yollari AO itu mampu membeli sehingga 80 peratus kepentingan dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG), kata dua orang sumber yang enggan dinamakan kerana rundingan masih lagi rahsia.

Turkish Airlines dikatakan menawarkan 750 juta euro (RM3.5 bilion) untuk menguasai kepentingan tersebut, kata seorang sumber.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun masih belum memberi sebarang maklum balas manakala MAHB enggan memberi komen.

Sekiranya urusniaga itu berjaya, ia bakal menjadi perubahan besar kepada strategi MAHB.

Mei lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, syarikat sedang mencari rakan kongsi untuk membeli kepentingan minoriti di dalam ISG dan 10 pihak telah menyatakan minat masing-masing.

MAHB merupakan sebahagian daripada konsortium yang telah memenangi kontrak bernilai 1.9 bilion euro untuk mengendalikan lapangan terbang tersebut pada 2007.

Pada 2013, ia bersetuju untuk meningkatkan pegangannya kepada 60 peratus dengan mengambil alih kepentingan rakan kongsinya dari India, GMR Infrastructure Ltd. pada harga 225 juta euro.

Ia juga membeli baki 40 peratus saham dari syarikat Turki, Limak Holdings pada harga 285 juta euro pada 2014. – Bloomberg