Yunna Tan antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil Balakong.

SERDANG – DAP Selangor berdepan tekanan apabila pengundi di Balakong ‘mengugut’ untuk tidak mengundi pada pilihan raya kecil di Balakong jika parti itu meletakkan “calon yang tidak sepatutnya.”

Berbanding fenomena pilihan raya yang menyaksikan pengundi memuat naik gambar jari yang dicelup dengan dakwat, pengundi kini pula “mengugut” mahu menunjukkan jari yang bersih jika DAP meletak calon yang tidak boleh diterima.

Kempen boikot itu berlaku susulan laporan bahawa DAP akan mencalonkan seorang pembaca berita, Yunna Tan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Balakong.

Sinchew Daily melaporkan, daripada beberapa calon berpotensi yang dilaporkan, Yunna dikatakan menerima paling banyak kritikan malahan disenaraikan sebagai ‘persona non grata’ di sesetengah tempat.

Pengundi telah memberi amaran kepada DAP supaya tidak sesekali memandang rendah kebijaksanaan pengundi dalam membuat penilaian dengan meletakkan calon yang bertentangan dengan hasrat hati mereka.

Susulan laporan Yunna diletakkan sebagai calon, Ketua DAP Selangor, Tony Pua turut menjadi sasaran kririkan.

Selain Yunna, calon lain yang dilaporkan sebagai berpotensi bertanding di Balakong termasuk tiga Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Seorang lagi calon yang merupakan Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah menolak pelawaan untuk menjadi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Bagi MCA pula yang akan bertanding buat pertama kalinya menggunakan lambang sendiri dan bukannya lambang Barisan Nasional (BN), seorang pemimpin muda bahagian Serdang berumur 40 tahun dijangka dicalonkan.

China Press melaporkan, beberapa veteran MCA di Balakong dan Serdang termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Datuk Hoh Hee Lee telah menolak pelawaan untuk bertanding. – MalaysiaGazette