Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

ALOR SETAR – Kementerian Kewangan berpendapat penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun ia perlu dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Menterinya Datuk Amiruddin Hamzah berkata, penghapusan kutipan tol juga mampu memberi impak positif terhadap ekonomi negara.

“Bila tol dihapuskan sudah pasti ia beri impak positif pada ekonomi. Penghapusan tol itu mampu mengurangkan kos harga barangan kerana kenaikan harga barangan turut didorong oleh kos tol yang perlu ditanggung peniaga.

“Sekiranya tol dihapuskan, maka satu komponen daripada kos tersebut sudah hilang, jadi ia akan beri impak kepada pengurangan kos barangan,” katanya kepada pemberita pada program Bakar Lemang di Masjid Taman Berlian di sini, hari ini.

Penghapusan tol adalah antara janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Amiruddin berkata sekiranya penghapusan tol tersebut hendak dilaksanakan, tumpuan akan diberikan pada jalan raya bertol yang tidak mempunyai laluan alternatif.

“Ada jalan bertol yang mempunya alternatif contohnya jika rakyat tidak mahu guna lebuh raya yang ada kutipan tol, mereka boleh guna jalan biasa tetapi mungkin kereta banyak selain lampu (isyarat) lalu lintas yang banyak.

“Tetapi, kita kena lihat tahap kemampuan (kewangan kerajaan) dahulu kerana perlu mengambil kira pampasan yang perlu dibayar kepada pihak konsesi lebuh raya termasuk keuntungan pada masa depan dan sebab itu perlu buat kajian terperinci dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata, Kementerian Kewangan terbuka dengan cadangan yang dibuat Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin untuk menambah baik tadbir urus kementerian dalam memastikan ekonomi negara berada di landasan yang betul.

“Kita terbuka dengan apa jua cadangan dan sebab itu kita keluarkan tender terbuka bagi memastikan kerajaan dapat pulangan wang kerana kerajaan terdahulu banyak buat rundingan terus ? yang menyebabkan kerajaan rugi dan kita tidak mahu ia berlaku lagi,” katanya.- MalaysiaGazette