Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Sebuah stadium eSports mungkin dibina di Malaysia dan arena itu akan membuka jalan kepada penganjuran Liga eSports dengan penyertaan daripada pemain-pemain seluruh negara.

Liga tersebut juga akan membantu negara mengenal pasti pemain terhebat yang akan mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau sedang berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Razer Inc., Tan Min Liang dari Singapura untuk mengenal pasti peluang pelaburan dalam bidang eSports.

“Kami akan bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

” Selain itu, TM juga menyatakan minat untuk melibatkan diri dalam pembangunan eSports,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut beliau, eSports merupakan bidang yang mampu menjana pendapatan dan beliau mahu melihat bidang itu dibangunkan di negara ini.

“Saya mahu mengadakan Liga eSports di Malaysia untuk memilih peserta terbaik dan memberi pengiktirafan kepada mereka.

“Malaysia tidak harus terlepas peluang yang ada dalam bidang ini. Saya ingin melihat Malaysia menjadi hab untuk eSports di peringkat ASEAN,” katanya.

Tinggalkan Jawapan