Mahathir
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menawarkan diri untuk mengetuai pasukan pendakwa raya kes rayuan liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. 

Jelas beliau, tawaran Shafee itu kerana keinginannya untuk menjadi Peguam Negara. 

“Shafee mahu sangat jadi Peguam Negara. Dia jumpa saya, saya cakap kalau dia rasa dia boleh menang dia jumpalah Najib,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Shafee beberapa hari yang lalu bahawa Mahathir mahukannya mengetuai  pasukan pendakwa raya kes rayuan liwat II, Anwar. 

Mahathir juga menafikan tidak yakin Pejabat Peguam Negara dapat mengendalikan rayuan secara cekap, sebaliknya mendakwa Shafee yang menyuarakan kebimbangannya terhadap kekalahan kerajaan pada masa itu. 

“Dia kata Peguam Negara masa itu akan kalah dalam kes Anwar,” katanya. 

Shafee mula bersuara tentang perkara itu selepas laporan sebuah portal berbahasa Inggeris menyebut Pegawai Tugas Khas Pejabat Peguam Negara mengemukakan afidavit ke Mahkamah Rayuan yang didakwa menunjukkan bahawa Najib membayar RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee, masing-masing pada 11 September 2013 dan 14 Februari 2014, sebagai balasan menjadi Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat II Anwar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan