Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2018

KEPALA BATAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima kira-kira 2,000 aduan setiap hari daripada orang ramai sejak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 1 Sept lepas.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima adalah berkaitan kadar harga makanan dan minuman, sama seperti semasa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Bagaimanapun aduan yang diterima itu ada kalanya tidak spesifik dan saya minta kerjasama pengguna dapat membantu penguatkuasa dengan menyalurkan maklumat lebih komprehensif bagi membolehkan tindakan lebih pantas.

“Berhubung aduan berkaitan kadar harga makanan dan minuman, saya telah meminta supaya penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan lebih kerap dengan turun memantau premis jualan makanan dan minuman untuk menyelesaikan aduan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Penerangan Pelaksanaan dan Penguatkuasaan SST serta Taklimat Kepenggunaan peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Pulau Pinang merupakan negeri kelima siri jelajah berhubung SST dan ia akan diteruskan serta tidak hanya bertumpu kepada agensi kerajaan sebaliknya untuk memberi kefahaman kepada golongan suri rumah, mahasiswa dan seluruh masyarakat.

Saifuddin Nasution berkata, pihak kementerian sentiasa komited dalam menyelesaikan aduan diterima daripada pengguna dan akan mengambil tindakan ke atas peniaga yang didapati menaikkan harga pada kadar tidak munasabah.

“Setiap aduan yang dihantar memang dilihat dan jika ada asasnya, penguatkuasa kami akan turun untuk lihat sebelum mengambil tindakan ke atas pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan dan pemerhatian ke atas beberapa buah pasar raya besar di seluruh negara, beliau mendapati 30 barangan keperluan utama rakyat tidak mengalami peningkatan harga.

“Baru-baru ini, saya ada melawat beberapa pasar raya besar dan pemerhatian mendapati 30 barangan utama seperti minyak, Milo, tepung dan lampin pakai buang tidak mengalami kenaikan harga,” katanya. – Bernama

Tinggalkan Jawapan