Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazir Razak hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dalam Kumpulan CIMB berkuatkuasa pada 31 Disember 2018.

Menurut adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, keputusan itu turut berkuatkuasa kepada semua jawatan lain dalam institusi kewangan berkenaan.

Nazir telah berkhidmat di CIMB selama 29 tahun sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014.

Nazir berkata, keputusannya dibuat untuk melengkapkan pelan penyusunan semula empat tahun CIMB yang dilancarkan pada 2014.

“Ketika T18 semakin hampir tamat, CIMB kini kukuh dari segi kewangan, mantap dari segi organisasi dan teguh dari segi institusi.

“Kami mempunyai pasukan pengurusan cemerlang diterajui oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan barisan pemimpin hadapan di belakangnya. Kejayaan berterusan firma ini selepas pemergian saya akan mengesahkan lagi bahawa misi saya di CIMB telah benar-benar terlaksana,” katanya di laman sosial Instagram.

Dalam pada itu, Nizar mengucapkan terima kasih kepada CIMB kerana diberikan kesempatan untuk memegang jawatan tersebut.

“Misi saya telah tercapai dan pengesahan pengganti akan dilakukan selepas pengunduran saya dan CIMB akan terus berkembang.

“Dalam tempoh 29 tahun saya bertuah kerana berada di kerusi barisan hadapan dalam pengembaraan cimb yang menakjubkan daripada francais kewangan korporat bagi menerajui bank pelaburan Malaysia kepada bank universal ASEAN,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan