Foto The Independent.

LONDON – Pengurus veteran, Fabio Capello membidas silap Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kerana bersikap kurang hormat setelah kedua-duanya tidak menghadiri majlis Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di London, awal pagi tadi.

Goal.com melaporkan Capello menyifatkan Ronaldo dan Messi tidak profesional memandangkan kedua-duanya tersenarai dalam Kesebelasan Dunia FIFPro tetapi tidak muncul pada majlis berprestij sukan bola sepak itu.

“Mungkin mereka telah menang banyak kali dan tidak suka kalah. Dalam kehidupan, anda perlu bersikap profesional apabila menang dan kalah,” katanya  Capello memberitahu TVE.

Messi merupakan pemain yang secara kontroversinya gagal menempatkan diri dalam pencalonan Anugerah Pemain Lelaki Terbaik yang menyaksikan Luka Modric meraih gelaran utama di hadapan Ronaldo dan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Legenda Uruguay, Diego Forlan turut sependapat dengan Capello sambil memberitahu Ronaldo dan Messi harus memberikan contoh yang lebih baik.

“Ini adalah satu majlis istimewa buat setiap pemain dan penting untuk berada di sini.

“Tidak kira siapa yang menang, pemain perlu memperlihatkan sikap dan tindakan kerana mereka adalah ikutan dunia,” ujarnya.