Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengibarkan bendera Jalur Gemilang sambil diiringi Pengerusi Huawei Malaysia, Baker Zhou (kanan) dan penerima-penerima Top 10 Awards Ceremony pada program Flag Off bersama Huawei Malaysia "Seeds For The Future" di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2018

PUTRAJAYA – Lebih banyak syarikat korporat dan swasta di negara ini dialu-alukan bekerjasama rapat dengan universiti tempatan dalam melahirkan lebih ramai graduan berkepakaran teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) ke arah era Revolusi Industri 4.0.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pada masa yang sama setiap Universiti dan Kolej tempatan juga perlu menguasai peluang industri untuk membangunkan kepakaran keperluan teknologi sedia ada.

“Setiap institusi pengajian tinggi di negara ini harus menggunakan kelebihan industri untuk membangunkan penyelidikan terkini dan membina tenaga kerja dalam perspektif antarabangsa,” katanya dalam satu majlis di kementerian beliau hari ini.

Beliau telah berucap merasmikan Flag 10 pemenang terbaik Program Seeds for the Future 2018 anjuran Huawei Malaysia Berhad yang turut dihadiri Timbalan Menterinya Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Baker Zhou di Kementerian Pendidikan Parcel E di sini.

Maszlee juga menyeru mahasiswa dan siswi universiti di negara ini menggunakan peluang itu sebaik baiknya dan mempertingkatkan penguasaan teknologi terkini dan memperluaskan pengetahuan itu ke peringkat global.

“Kongsikan pengetahuan yang anda kecapi menerusi program syarikat korporat bersama rakan dan generasi anda untuk melahirkan pemimpin masa depan yang diharapkan negara,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Maszlee berkata, pihak bekerjasama rapat dengan Huawei Malaysia dan syarikat lain menerusi Program CEO@Fakulti 2.0 yang mana pensyarah muda universiti meluangkan masa enam bulan dibawah program Mentor Pemimpin Industri seperti Baker Zhou.

Katanya, untuk tahun ini dua pensyarah telah dipilih untuk bekerjasama dengan Huawei Malaysia.

Mereka ialah Dr. Nurhidayatullaili Muhd.Julkapli dari Universiti Malaya dan Dr. Shankar Karuppayah dari Universiti Sains Malaysia.

Kedua-dua mereka merupakan antara 10 pelajar terbaik terpilih daripada 1,000 pelajar yang mengambil bahagian mewakili UM, UPM, UNIMAS, UMS, UTHM, UTP and MMU.

Tambahnya, penuntut Malaysia perlu mempersiapkan diri menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan institusi pengajian tinggi di negara ini perlu bekerja keras untuk membangunkan bukan sekadar graduan berkerjaya tetapi juga mampu bersaing dalam dunia tanpa sempadan.

Menurut Maszlee,  program seperti Seeds For Future Program anjuran Huawei adalah salah satu daripada pelbagai kolaborasi yang perlu disertai setiap universiti di negara ini.

“Seramai 10 pemenang terbaik ini akan berada dua minggu di Beijing dan Shenzhen yang mana terletaknya ibu pejabat Huawei dan akan menjadi saksi pengoperasian syarikat multinasional Teknologi Komunikasi Maklumat.

“Di sana, mereka ini akan didedahkan kepada pembelajaran perkomputeran awan, internet, teknologi 5G, dan akan menyertai beberapa siri bengkel dan rangkaian selain berpeluang mempelajari bahasa Mandsri dan kelas kaligrafi dan mengembara bandaraya besar itu.

“Beliau mengharapkan Huawei terus berdedikasi dan kerjasama dalam membina Malaysia baharu bukan sekadar teknologi tetapi juga usaha berterusan dalam mengasak kemahiran kepakaran ICT tempatan dan menyokong industri ICT tempatan di sini’ tegas beliau.- MalaysiaGazette