Anwar Ibrahim
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama calon parti lain termasuk bekas pegawai peribadinbya, Mohd Saiful Bukhari Azlan (kiri) pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mengharungi laluan mudah dalam mana mana pilihan raya yang dihadapinya sebelum ini.

Calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu berpendapat, ketiadaan UMNO tidak memudahkan laluannya untuk menang memandangkan terdapat enam lagi calon yang perlu ditewaskan.

“Saya tidak pernah lihat laluan mudah dalam mana-mana pilihan raya setakat ini,” katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Majlis Perbandaran Port Dickson pagi tadi.

Ditanya mengenai bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menjadi calon Bebas, beliau berkata: “Itu soal dia, saya tak mahu campur. Saya mahu tumpu kerja saya.

“Saya berharap akan membantu Tun M dalam mentadbir negara dan saya akan membantu Parlimen,” ujarnya.

Beliau yang ditanya kehadiran Tan Sri Isa Samad berkata: “Sengit atau tidak saya tidak tahu, sebagai calon saya akan meneruskan kerja berkempen. Kesemua parti yang mewakili PH ada di sini maka kita akan bekerja kuat.

“Jentera PRK kami utuh dan sudah digerakkan untuk menterjemahkan segala kerja keras dalam bentuk kemenangan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan