Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) bercakap sesuatu dengan Calon PAS P.132 Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar pada Ceramah Umum Bersama Calon PAS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Koboi Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2018.

PORT DICKSON – Pas bergerak secara bersendiri dalam kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson sejak UMNO membuat ketetapan tidak turun membantu berkempen untuk rakan blok pembangkang itu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila ditanya sama ada jentera UMNO berkempen untuk calon mereka iaitu Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar secara senyap, katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai perkembangan tersebut.

“Dalam sistem demokrasi kita menerima siapa sahaja yang menyokong atau menerima calon mereka dan tidak sekadar orang Pas.. tetapi sata tidak pasti (UMNO) ada bantu atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana kempen Pas di Kampung Teluk Kemang malam tadi.

Beliau turut diminta penjelasan sama ada berlaku sebarang pertemuan dengan kepimpinan tertinggi UMNO membincangkan kerjasama mengenai PRK.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Pas bersendiri sejak selepas UMNO membuat kenyataan tidak akan bertanding dan tidak akan membenarkan ahli-ahlinya turun berkempen.

“Tetapi kalau dia ada kesukarelaan nak mengundi kita, itu lain cerita.. kita mengharapkan UMNO sepakat mengundi calon Pas di Port Dickson,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan tentang kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerima slogan Pas ‘Islam untuk Semua’ dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam.

Ditanya mengenai pertembungan tujuh penjuru dalam PRK kali ini, beliau berkata ia adalah perkara biasa dalam proses demokrasi negara.

“Pas tidak terkejut dengan pertembungan tujuh penjuru di PRK PD memandangkan di Kedah pernah berlaku pertandingan 15 penjuru kawasan DUN Bukit Selambau,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan