Pandikar Amin Mulia
KUALA LUMPUR – Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah mengemukakan bantahan awal terhadap saman pemula bekas Anggota Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail berhubung usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Pandikar Amin dan Roosme kepada pemberita selepas berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan hari ini.

Shamsul berkata beliau berhujah saman itu bersifat akademik dan tiada isu yang perlu dibicarakan berikutan penggal Dewan Rakyat ke-13 telahpun berakhir.

“Sekarang (penggal) Parlimen baharu dan speaker baharu. (Justeru) Tiada isu yang masih tinggal untuk mahkamah ini putuskan,” katanya.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan yang mewakili Mohamed Tawfik, berkata beliau berhujah isu RUU 355 bukan bersifat akademik dan perlu didengar oleh mahkamah.

“Hadi tidak pernah menarik balik usul itu dan banyak ura-ura yang menyatakan RUU 355 cuba dibentangkan sekali lagi. Justeru, isu berkenaan masih belum tamat,” katanya dan menambah keputusan bantahan itu akan dibuat oleh mahkamah pada 14 Nov.

Pada 22 Feb lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said menolak permohonan Pandikar Amin dan Roosme untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Mohamed Tawfik berhubung isu sama selepas mendapati mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan.

Mohamed Tawfik memfailkan saman pemula pada 31 Mac 2017 berhubung RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat.

Beliau memohon perisytiharan bahawa usul Abdul Hadi untuk meminda undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, prosedur dan Perintah Tetap Dewan Rakyat.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa cadangan pindaan itu dibuat tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Plaintif menegaskan bahawa mengikut Perintah Tetap 49 dan/atau 48, Yang Dipertua tidak boleh membenarkan RUU 355 dibahaskan di Dewan Rakyat tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

— BERNAMA